Majlis Daerah Mersing Beralih Kepada Tenaga Solar Hasil Kerjasama Bersama Ditrolic Solar


Majlis Daerah Mersing Beralih Kepada Tenaga Solar Hasil Kerjasama Bersama Ditrolic Solar

JOHOR BAHRU, JOHOR: Majlis Daerah Mersing telah menandatangani perjanjian SunLease dengan Ditrolic Solar, antara Pelabur Sistem Solar Fotovoltaik Berdaftar (Registered Solar PV Investor) yang terbesar di Malaysia untuk memasang sistem solar fotovoltaik (PV) tersambung grid berkapasiti 310kW di atas bumbung bangunan-bangunan milik Majlis Daerah Mersing, Johor.

Melalui pelaburan program SunLease, Majlis Daerah Mersing kini membeli tenaga elektrik dari Ditrolic Solar dengan harga yang lebih rendah daripada tarif elektrik sedia ada tanpa Majlis mengeluarkan sebarang kos pelaburan. Pemasangan solar PV sistem ini secara langsung mampu mengurangkan kos bil elektrik melalui penjanaan tenaga boleh diperbaharui.

Yang Dipertua Majlis Daerah Mersing, Norazmi Bin Amir Hamzah berkata, “Ini adalah komitmen kami dalam merealisasikan Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals) yang mempunyai 17 matlamat dan 169 sasaran. Kami berharap usaha pelaburan swasta dengan usaha sama Pihak Berkuasa Tempatan sebegini akan menjadi contoh kepada komuniti lain untuk sama-sama mencari penyelesaian penjimatan kos yang mesra alam.”

Sebanyak 720 keping solar PV akan dipasang atas bumbung bangunan-bangunan majlis dan mampu memberikan penjimatan bil elektrik sekitar RM40,000 setahun kepada pihak Majlis. Setiap tahun, sistem ini mampu menghasilkan tenaga elektrik sebanyak 400,000 kiloWatt jam daripada sumber tenaga matahari. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ditrolic Solar, Tham Chee Aun berkata, “Penggunaan tenaga alternatif ini bukan sahaja dapat membantu menjimatkan kos Majlis Daerah Mersing, malah ianya secara langsung mendokong usaha kerajaan mengurangkan pelepasan karbon dan kelestarian tenaga.”